Wednesday, September 17, 2008

Pengenalan Virus

Pengenalan Kepada Komputer Sebelum mengenali Virus adalah penting untuk mengetahui asas komputer terlebih dahulu.

Komponen-komponen Komputer

Komputer dibahagikan kepada dua komponen asas iaitu perkakasan atau hadwer dan perisian atau sofwer.
Perkakasan adalah bahagian yang dapat dilihat dengan mata kasar. Ia merupakan gabungan sirkit dan chip silikon, peranti-peranti seperti cekera keras dan cekera liut yang menyimpan data, memori yang menyimpan maklumat untuk diproses oleh pemproses utama.

Perisian pula merupakan arahan-arahan yang digunakan oleh komputer untuk memproses maklumat. Perisian mempunyai beberapa jenis seperti perisian sistem pengendalian, perisian sistem aplikasi dan lain-lain.

Bagaimana Komputer Beroperasi.
Komputer memproses data menggunakan pemproses pusat dengan arahan yang dibacanya dari memori komputer tersebut. Data yang di simpan dalam
cekera keras atau cekera liut juga perlu di alihkan ke dalam memori sebelum dapat dibaca oleh pemproses.
Setiap cekera dibahagikan kepada
sektor-sektor. Pada sektor awal terdapat maklumat pembahagian cekera dan saiznya serta maklumat direktori yang mengesan kedudukan fail.

Semasa komputer baru dibuka ia selalunya akan menyemak sama ada terdapat cekera liut didalam pemacu cekera. Jika ada ia akan membaca sektor pertama dari cekera tersebut yang dikenali dengan 'boot record'.

Maklumat ini akan diletakkan kedalam memori komputer dan diproses. Jika tiada cekera liut barulah komputer cuba membaca 'master boot record' yaang terdapat pada sektor pertama di dalam cekera keras.
Dengan memproses arahan pada 'boot record' barulah komputer dapat membaca fail kernel bagi sistem pengendalian DOS iaitu fail io.sys dan kemudiannya msdos.sys. Kedua-dua fail ini adalah tersorok iaitu tidak dapat dilihat dengan menggunakan arahan file manager atau dir. Kemudian komputer membaca fail config.sys dan seterusnya membaca fail shell untuk sistem DOS iaitu command.com. Modul command.com kemudiannya digunakan untuk memproses fail-fail lain dengan didahului dengan fail autoexec.bat.

Apa itu Virus
Virus adalah sejenis aturcara dibawah golongan perisian penyangak. Di bawah disenaraikan perisian-perisian penyangak yang dikenali umum.


Perisian Berpepijat(Bug-Ware) Aturcara ini merupakan aturcara komputer biasa yang bertujuan untuk kegunaan baik tetapi mempunyai ralat yang tidak dikesan oleh pengaturcara. Ia mungkin disebabkan kesuntukan masa atau sememangnya pengaturcara itu bebal atau malas. Aturcara ini akan mengakibatkan kerosakan pada data pengguna.

Kuda Kayu(Trojan Horse) Dinamakan sempena hikayat kuda kayu dalam peperangan pihak Greek dan Trojan pada zaman dahulu, aturcara ini nampak dari segi luarannya seperti aturcara biasa yang digunakan untuk tujuan baik tetapi mempunyai agenda tersembunyi didalamnya. Kebanyakkan aturcara penyangak di serahkan kepada pengguna sebagai Trojan Horse. Ini termasuk aturcara virus.

Sumpah-Sumpah(Chameleon) Aturcara ini menyamar seperti aturcara biasa yang dikenali umum tetapi sebenarnya merupakan aturcara jahat. Contoh aturcara ini adalah aturcara yang meminta pengguna memasukkan kata laluan mereka. Kata laluan tersebut kemudiannya digunakan oleh penyangak yang membuat aturcara ini.

Bom Perisian(Software Bombs) Aturcara ini paling senang dibangunkan. Ia bertindak merosakkan data sebaik sahaja ia diproses. Bom Logik (Logic Bombs) Aturcara ini selalunya menyemak sesuatu peristiwa dan melancarnya jika ia menepatinya. Sebagai contoh seorang pengaturcara menyemak maklumat gajinya. Apabila maklumat gajinya dibuang, yang bermakna ia telah dibuang kerja maka aturcara bom logiknya itu akan merosakkan semua maklumat didalam komputer.

Bom Masa (Time Bombs) Aturcara ini akan bertindak apabila menepati masa yang ditunggu atau nilai iterasi nya. Pereplika (Replicators) Dikenali juga sebagai arnab. Ia mereplikakan dirinya sehingga memenuhi memori dan/atau cekera. Ia dicipta supaya sistem menghadapi masalah sumber sistem yang mengakibatkan sistem komputer menjadi perlahan dan kemudiannya tidak dapat beroperasi.

Cacing (Worms) Aturcara cacing ini selalunya berjangkit dari satu komputer ke satu komputer lain dalam rangkaian. Ia mereplikasikan dirinya semata-mata untuk menjangkiti komputer lain. Selalunya aturcara ini memasuki komputer dengan senyap dan setelah mendapat apa yang dikehendaki ia akan menghapuskan segala tanda tentang kehadirannya.

Virus Merupakan aturcara penyangak yang paling diketahui umum. Ia merubah aturcara lain supaya ia dapat menyeludup masuk kedalam komputer. Aturcara ini berupaya mereplikasikan dirinya. Jika ianya dibina dengan teliti ia tidak menukar atribut masa dan saiz atau pun 'checksum' aturcara yang ditumpangnya. Jenis-jenis Virus Terdapat beberapa jenis Virus yang sering menjangkiti komputer.

Virus Sektor Boot (Boot Sector Virus) Virus ini menjangkiti sektor boot atau rekod boot utama (master boot rekod). Ia selalunya mengalihkan aturcara asal kesektor lain dan menandakan sektor tersebut sebagai rosak. Ia kemudiannya mengisi sektor boot terbabit dengan aturcara penyangak. Kebanyakan virus adalah dari jenis ini. Ia sangat popular kerana kerana ia agak susah dikenali kerana ia dibaca pada awal-awal lagi semasa komputer baru dibuka. Ia juga dapat mengawal komputer sebelum aturcara lain dapat diproses.

Virus jenis ini menjangkiti komputer dengan satu cara sahaja iaitu apabila pengguna memulakan komputer dengan disket yang telah dijangkiti beraada dalam pemacu disket. Ia selalunya akan tinggal dalam memori supaya dapat menjangkiti disket lain Virus Yang Menjangkiti Fail Virus ini menjangkiti fail yang boleh dilaksanakan iaitu fail yang mempunyai nama tambahannya .exe ,.com,.sys,.dll, drv dan juga .ovl.

Banyak juga virus yang meresapi fail command.com. Virus akan mempastikan apabila file ini dibaca oleh komputer, arahan dari virus ini akan dilaksanakan dahulu. Arahan ini kemudianya akan kekal didalam memori untuk menjangkiti fail-fail lain. Kebanyakan virus yang bijak selalunya masih menjalankan arahan asal supaya pengguna tidak merasa sangsi akan aturcara berkenaan .

Virus Polymorphic Virus jenis ini adalah diantara virus yang susah hendak dikesan kerana ia sentiasa berubah wajah. Ini dilakukan supaya perisian anti virus tidak mudah mengesannya berdasarkan sesuatu bentuk atau corak. Aturcara virus jenis ini sebenarnya mempunyai kebolehan merubah kodnya dengan menggunakan kod rahsia yang sering berubah algorithmanya.

Virus Stealth Virus jenis ini cuba mengelak dari dikesan oleh sistem pengendalian dan juga perisian anti-virus. Virus jenis ini akan sentiaasa berada dalam memori dan memintas sebarang cubaan untuk mengesannya dengan memberikan maklumat palsu. Ia akan menyorok segala perubahan pada saiz fail, struktur direktori dan lain-lain aspek sistem pengendalian. Oleh kerana ia sentiasa berada dalam memori ini bermakna ruang memori tambahan telah digunakan. Bagaimana pun virus ini akan menyorok maklumat ini dari sistem pengendalian dan perisian anti-virus.

Virus Multi-partite Virus jenis ini selalunya menjangkiti sektor boot dan juga fail yang boleh dilaksanakan. Mereka adalah perian virus yang paling sukar hendak dikesani kerana ia menggunakan teknik pelbagai seperti teknik stealth dan juga polymorphic. Virus Macro Virus Macro menjangkiti fail dokumen Microsoft word. Macro merupakan senarai arahan atau template. Virus ini adalah merbahaya kerana ia telah menukar persepsi ramai bahawa virus hanya akan berjangkit jika sebuah fail itu dilaksanakan dan bukannya setakat dibaca. Virus Macro merebak apabila dokumen dibaca menggunakan perisian Winword.exe. Ia senang merebak kerana dokumen Words digunakan hampir seluruh pengguna komputer dan sentiasa dikongsi. Makro yang digunakan oleh pereka virus ini selalunya disimpan dalam template global iaitu Normal.dot yang digunakan oleh semua dokumen Words.

Artikel Macro Virus FAQ menerangkan dengan lebih terperinci berkaitan virus ini. Microsoft ada mengeluarkan aturcara yang dapat membantu pengguna dalam mengesan virus ini. Fail readme disediakan sebagai penerangan.

Cara Virus Berjangkit
Seperti yang diperkatakan diatas, virus akan berjangkit apabila seseorang menggunakan perisian yang sudah dijangkiti. Perisian ini selalunya diedar melalui diskette atau pun melalui rangkaian komputer. Sebagai contoh, senario dibawah sering berlaku;


Pembuat virus akan mengedar virus ini dengan bersama dengan sebuah perisian permainan yang menarik. Perisian ini diletakkan dalam internet dan diedarkan secara percuma. Seorang pelajar telah memunggah perisian ini kedalam komputer di makmal dan bermain dengan permainan ini. Komputer dalam makmal ini telah dijangkiti. Seorang teman berminat dengan permainan ini menyalinnya kedalam disket dan bermain di komputer dirumahnya dan menjangkit komputer dirumahnya. Seorang lagi pelajar menggunakan komputer yang telah dijangkiti tadi untuk membuat kerja kursus dan menyimpan hasil kerjanya kedalam disket. Semasa menyalin kerja kursusnya, aturcara virus yang ada dalam memori telah menyelinap masuk kedalam sektor boot disket ini. Keesokkanya pelajar ini ingin memperkemaskan lagi kerja kursusnya telah dapat menggunakan sebuah kemputer lain yang tidak digunakan. Semasa mengguna komputer telah berlaku ralat pada komputer dan pelajar tersebut terpaksa memulakan semula komputer tanpa menyedari yang disketnya masih dalam pemacu cekera. Terdapat ralat yang mengatakan disket tadi bukanya disket sistem yang boleh digunakan untuk memulakan komputer. Virus telah pun masuk kedalam komputer ini. Pelajar mengeluarkan disket dan tekan sebarang kekunci dan komputer kembali beroperasi bersama virus ini yang telah pun menjangkiti rekod boot utama komputer ini.

Seorang bapa telah menggunakan komputer untuk membuat kertas kerja menggunakan komputer dirumahnya yang telah dijangkiti virus dan kemudian memperkemaskan kertas kerjanya dengan komputer dipejabat dan menjangkiti komputer tersebut. Komputer ini akan menjangkiti disket lain dan begitulah seterusnya.
Sebagai rumusan, komputer berjangkit melalui disket atau rangkaian. Ia menjangkiti disket yang boleh ditulis dan fail yang boleh dilaksanakan. Aturcara yang telah dijangkiti akan berjangkit pada cekera atau aturcara lain apabila dilaksanakan.

Cara Menghindar Dari Dijangkiti Virus
1)Semua disket perlu diperlindung supaya tidak dapat ditulis melainkan jika perlu sahaja.
2)Semak disket dengan perisian anti-virus sebelum menggunakannya
3)Disket yang telah digunakan ditempat lain termasuk dirumah perlu disemak
4)Laporkan sebarang peristiwa yang mencurigakan. Semak kehadiran virus jika gerak kerja biasa mendatangkan keputusan yang tidak dijangka
5)perhatikan jumlah ruang cekera yang masih kosong
6)perhatikan fail yang bertukar dengan melihat mengikut turutan tarikh
7)semak sektor yang rosak
8)Semak semua fail yang didapati dari komputer lain
9)Pastikan pemacu cekera liut terbuka semasa memulakan komputer
10)Tukarkan turutan mulakan komputer menggunakan cekera keras C dahulu sebelum cekera A
11)Gunakan perisian antivirus untuk menyemak fail sekurang-kurangnya seminggu sekali dengan memulakan komputer menggunakan disket antivirus selepas menutup komputer sekurang-kurangnya seminit.
12)Sebaiknya pasangkan perisian antivirus jenis TSR yang dilaksanakan semasa memulakan komputer dan sentiasa berada dalam memori untuk menyemak aturcara atau disket.

Buat salinan semua data dan fail sistem penting iaitu:
1)Sektor boot, Partition Table dan maklumat CMOS
2)Arahan DOS utama iaitu command.com, fdisk, mirror, format, fail MSAV dan debug
Fail autoexec.bat dan config.sys

Apakah tanda-tanda komputer anda dijangkiti
1)komputer menjadi perlahan
2)turcara biasa mengambil masa untuk dimulakan
3)turcara mencapai beberapa cekera walaupun sebelumnya tidak begitu
4)aturcara membuat capaian cekera dengan kerap walau sebelumnya tidak begitu
5)ruang cekera berkurang dengan cepat
6)jumlah sektor yang rosak bertambah
7)ruang memori berkurang dengan cepat
8)terdapat aturcara dalam memori yang tidak dikenali sebelumnya (guna arahan MEM)
9)aturcara biasa dijalankan tiba-tiba terhenti dan rosak
10)mesej pelik dipaparkan
11)perkara pelik atau lawak berlaku pada komputer anda
12)fail-fail tiba-tiba hilang
13)fail-fail digantikan dengan kandungan aneh>
14)atribut fail bertukar
15)semakan menggunakan perisian anti-virus mengatakan ada virus

Apakah Yang Perlu Dilakukan Setelah Dijangkiti Virus
1)bertenang
2)catitkan mesej di layar paparan, jenis virus jika diketahui, fail yang dijangkiti
3)imbas balik apa yang dilakukan sebelum dijangkiti
4)kumpulkan disket yang berdekatan dan dari pemacu untuk disemak
5)semak senarai virus dari intranet atau internet dan bandingkan mesej atau peristiwa yang berlaku
6)tutup komputer
7)mulakan komputer menggunakan disket anti-virus yang suci dan tidak boleh ditulis
8)catit mesej tentang fail yang dijangkiti dan cuba mencucinya dari virus
9)mulakan semula komputer menggunakan cekera keras
10)semak semua cekera liut yang disyaki
11)jika cekera liut tidak boleh dibersihkan formatkannya(fail akan hilang)
12)untuk memulihkan fail cuba salin ke tempat lain menggunakan pelbagai cara
13)untuk pulih dari cluster hilang laksanakan arahan chkdsk /f dan periksa fail file#### .chk
14)untuk memulihkan FAT, salin FAT yang tidak rosak ke salinan utama (memerlukan utiliti Norton)
15)untuk memulihkan dari kerosakan rekod boot utama MBR laksanakan arahan fdisk /mbr dan masukkan 16)maklumat partition table secara manual.
16)untuk memulihkan sektor boot dan fail io.sys serta msdos.sys, laksanakan arahan sys [d:]
17)gantikan fail command.com dengan yang bersih
18)Hantar sahaja ke kedai kalau anda dan sahabat2 anda yang expert x dpt atasi

Sumber : IT USM

Tips Penjagaan Laptop/Notebook

Ikutilah beberapa "Tip cara penjagaan komputer riba anda."

1. Bateri
* Elakkan daripada penggunaan bateri.
* Komputer lebih sejuk tanpa haba dari bateri.
* Jika bateri sudah habis dicas, digalakkan menggunakan kuasa dari adapter.
* Pastikan bateri berada di bawah 10 peratus sebelum dicas semula.
* Jika terlalu kerap dicas, bateri akan kehilangan keupayaan menyimpantenaga di bawah 50 peratus.

2. Papan Kekunci.
* Letakkan sekeping kertas A4 untuk papan kekunci setiap kali tidakmenggunakannya untuk menghindarkan papan kekunci dimasuki habuk.
* Sesekali lapkan papan kekunci dengan perlahan-lahan. Jangan terlalukasar untuk mengelakkan butang kekunci rosak.
* Kalau boleh gunakan papan kekunci dan tetikus berasingan supaya kitatidak terlalu kerap menggunakan papan kekunci di komputer riba.

3. Skrin LCD
* Lapkan ia selalu kerana mudah dimasuki habuk.
* Gunakan screen saver.
* Power management setkan pada ‘Turn Off monitor in … minutes’.
* Elakkan menyentuh skrin dengan jari kerana kesan jari yang berminyakmenyukarkan untuk pembersihan.
* Jangan letakkan jari di skrin kerana boleh menyebabkan ‘Dead pixel’.

4. Haba Panas
* Pastikan komputer riba anda ada ruang untuk mengeluarkan haba panas.
* Perlu diingat komputer riba mempunyai ruang simpanan yang kecil.

5. Surge Protector
* Fungsinya sebagai menjaga perisian dan perkakasan daripada rosak.
* Disyorkan jenama APC, BELKIN atau TARGUS.
* Kelebihan APC - mempunyai bateri simpanan, line protection (tiadaelektrik tapi masih boleh dihidupkan lagi) dan mempunyai amaran kehabisan bateri.
* Kelebihan lain Surge Protector ialah menjaga HDD dan Power Supply.

6. Port
* Sentiasa dibersihkan kerana mudah dimasuki habuk.
* Gunakan berus atau berus gigi lama.
* Pastikan suis dimatikan ketika membuat pembersihan.

Sumber : mykomputer

Sunday, September 14, 2008

Kriteria Pemilihan Laptop/Notebook


Mungkin ramai yang dah pandai macam mana nak pilih laptop untuk keperluan, namun aku percaya masih ramai yang tertanya² camner nak buat pilihan terbaik untuk laptop kita. So kat sini aku nak kongsi sedikit untuk memilih laptop yang sesuai untuk kita dan apa kriteria yang kita perlu ambil kira. Beberapa persoalan yang kita perlu tanya sebelum kita buat pilihan…

Kenapa kita beli laptop tersebut?
a)Untuk ganti Desktop PC
b)Untuk dijadikan sebagai tambahan kepada PC yang sedia ada
c)Untuk digunakan untuk pengajian di universiti
d)Untuk kegiatan perniagaan
e)Untuk di bawa ke mana-mana supaya boleh digunakan bila perlu.

Apakah kegunaan laptop tersebut?
a)Sekadar perhiasan di rumah
b)Untuk digunakan untuk menulis dokumen, surfing dan chating
c)Untuk bermain game dan perkara-perkara lain seperti chating, surfing dan lain-lain
d)Untuk digunakan untuk persembahan di depan pelanggan atau client.
e)Untuk tgk DVD atau


Di mana kita akan guna laptop kita ?
a)Rumah
b)Pejabat
c)Universiti
d)Taman Rekreasi
e)Di mana-mana sajer…


So tu antara persoalan pertama yang kita kena tanya sebelum kita buat pilihan… so mari kita kupas satu persatu:

Laptop untuk ganti Desktop PC, untuk main game di rumah.
Pertama skali kita akan pilih saiz laptop kita, disebabkan kita akan guna ini untuk ganti PC kita, biasanya laptop saiz 15,4“ adalah berpatutan, dan disebabkan kita ingin bermain game, biasanya kita akan pilih laptop bersaiz 17“ atau 19“ untuk tujuan kepuasan screen yang besar. Persoalan sama ada saiz screen ratio 4:3 atau 16:10 adalah bergantung kepada citarasa sendiri. So disebabkan kita nak main game… Laptop bersama Dedicated Graphic Card adalah disarankan, kerana keupayaan untuk memproses grafik-grafik yang canggih untuk game² terkini dengan mudah. Dan semestinya RAM juga memainkan peranan. 1Gb RAM adalah berpatutan untuk tujuan itu. Di sini, game² yang disebut adalah berupa game² terkini. Kalau setakat nak main pinball atau pacman, itu termasuk dalam kegunaan biasa. Tambahan untuk itu, hayat bateri untuk bertahan tidak begitu penting kerana kita akan berada di rumah, begitu juga
, kerana kebiasaannya, jika laptop pengganti PC untuk dirumah, kita tidak akan membawa ke merata-rata tempat.

Laptop sebagai tambahan kepada PC untuk bermain game di rumah.
Walaupun kebiasaannya kita tidak bermain game di atas laptop jika berada di rumah dan dalam waktu yang sama kita ada PC. Sebab kebiasaannya, keupayaan PC kita lebih bagus. Namun jika ini adalah keadaannya, seeloknya kita membeli laptop dalam saiz 15” atau 15,4” sahaja. Kenapa? sebab utama adalah harga, jika kita telah mempunyai pc, dan laptop sekadar tambahan di rumah, tidak perlu untuk melabur lebih. Dan perkara-perkara seperti Graphic card, RAM adalah seperti di dalam tajuk “Laptop untuk ganti Desktop PC, untuk main game di rumah”.

Laptop digunakan untuk pengajian di universiti, untuk menulis dokumen dan akan di bawa ke Universiti.
Ini adalah tujuan yang biasa kita dgr, kerana terdapat ramai pelajar² universiti yang menggunakan laptop kerana mudah untuk di bawa ke mana-mana apabila di perlukan. Untuk tujuan ini, saiz,
dan juga hayat bateri adalah antara perkara penting yang kita perlu ambil kira. Saiz yang optimum adalah 14” dan ke bawah kerana akan memudahkan kita untuk membawa ke mana-mana tanpa masalah untuk membawa beg tambahan, cukup sekadar beg yang memang selalu kita bawa ke universiti… jangan bawa beg tangan yang comel lote tu dah aa kan… hehehe… so hayat bateri seeloknya 3jam dan ke atas, kerana kebiasaannya kita akan berada di kantin atau tempat² yang tiada sumber elektrik terus. Dan 3jam untuk perbincangan dan menulis dokumen adalah tempoh yang berpatutan kerana lepas tu kita dah penat… :). laptop memainkan peranan di sini kerana kita hendak membawa laptop kita ke mana-mana di universiti, kalau berjalan kaki dan membawa beban yang byk di bahu, adalah kurang menyelesakan. Bergantung kepada berapa kita sanggup bayar, range dari 3~4kg dan ke bawah adalah sangat berpatutan.

Laptop perniagaan untuk menulis dokumen, dan persembahan kepada pelanggan di mana-mana.
So sekarang kita akan pergi ke ahli-ahli perniagaan yang memerlukan laptop untuk kegiatan perniagaan seharian mereka. Di sini, disarankan untuk memiliki laptop ultra-mobile. Saiz monitor 13.3” dan ke bawah adalah sangat disyorkan. Dan cuba cari
laptop di bawah 2kgs untuk kemudahan membawa ke mana-mana. Dan hayat bateri juga lebih dari 3jam. Kebiasaannya laptop di bawah 2kgs adalah sangat mahal harganya, sebab tu laptop sebegini disyorkan kepada ahli perniagaan atau individu yang berkemampuan sahaja. Kelebihan kita memiliki laptop yang kecil ini adalah supaya ianya boleh dimuatkan di dalam brief case kita bersama dokumen² lain tanpa perlu mengganggu penampilan kita sebagai ahli perniagaan atau ahli profesional.

So rasanya cukup aa tu dulu untuk kes² yang biasa kita alami. Namun kat bawah ni adalah
untuk pemilihan laptop secara general.
Laptop untuk game.
a)Saiz dari 15” dan ke atas
b)Dedicated Graphic Card
c)1Gb RAM dan ke atas

Laptop untuk perjalanan jauh.
a)Saiz dari 14” dan ke bawah
b)Integrated Graphic card (untuk mengelakkan kehausan bateri)
c)512Mb RAM dan ke atas
d) lingkungan 3 kg dan ke bawah.
e)Kemampuan bateri 3jam dan ke atas

Laptop untuk kegunaan biasa.
a)Saiz dari 15“ dan ke atas
b)Integrated/dedicated Graphic Card
c)512Mb RAM dan ke atas


Terdapat juga laptop bersaiz 17” dan hanya seberat kurang dari 3kgs, ini adalah berguna untuk mereka² yang suka bermain game dan pergi ke LAN Party atau seumpamanya, namun kebiasaanya kemampuan bateri adalah terhad jika di bandingakan dengan laptop bersaiz 13,3” dan lebih kecil.

Namun pesanan aku, kepada sesiapa yang nak beli laptop tu, jangan terlalu mengikut nafsu atau trend. Kerana kekadang kita bayar lebih walaupun kita tidak memerlukan laptop sebagus itu sebenarnya. Antara jenama yg mengeluarkan laptop yang kurang boleh dipercayai adalah Fujitsu-siemens kerana sehingga sekarang, begitu ramai yang mempunyai masalah dengan laptop tersebut. Kepada gamers²… Alienware adalah antara jenama yang mengeluarkan gaming laptop yang bagus.

Semua
atau perkara yang aku tulis kat sini, adalah daripada penelitian dan pembacaan aku selama ini. Jika terdapat maklumat yang kurang tepat. Aku minta maaf… namun di harap benda ni lerh di jadikan rujukan kepada sesiapa yang memerlukan. Marilah kita bijak membeli… dan bijak memakai… hehehe….

Sumber :http://www.eizil.com/2007/05/24/tips-kriteria-pemilihan-laptopnotebook/

HP Pavilion serlah kuasa mobiliti pengkomputeran


BAGI memenuhi keperluan mobiliti pengkomputeran tanpa sempadan, peneraju industri komputer terkenal, Hewlett Packard (M) Sdn. Bhd. (HP) memperkenalkan enam siri komputer ribanya yang terbaru.HP Pavilion dv4, dv5 dan dv7 merupakan komputer riba yang berkonsepkan hiburan dengan menampilkan beberapa ciri terkini bagi memberi kepuasan kepada pengguna.

Selain menampilkan kelainan dengan permukaannya diperbuat daripada logam, HP Pavilion ini juga didatangkan dengan reka bentuk yang unik dan sangat menarik. Ia turut dilengkapi dengan paparan butang media yang dikenali sebagai kawalan “Magical Chrome” untuk memudahkan pengguna mengakses kepada aplikasi muzik, video dan foto.

Menurut Pengurus Besar Negara bagi Kumpulan Sistem Peribadi, Danny Lee, HP sentiasa mencari inisiatif terbaik untuk penggunanya supaya komunikasi dapat diteruskan walau di mana mereka berada.‘‘Dengan penghasilan komputer riba baru ini, kami ingin pengguna merasai pengalaman mobiliti pengkomputeran yang berbeza melalui gabungan rekaan yang menarik dan ciri hiburan yang padat,’’ katanya pada pelancaran produk tersebut di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara kelebihan lain pada ketiga-tiga siri ini adalah ia dilengkapi dengan alat kawalan jauh televisyen, stesen multimedia, pembesar suara unik dan tambahan kapasiti bateri.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan paparan layar lebar infiniti dengan kecerahan menarik selain menampilkan material papan kekunci dan pad sentuh yang elegan. Apa yang menarik, kesemua siri ini didatangkan dengan perlindungan cakera keras HP ProtectSmart yang secara automatik akan menghentikan cakera keras daripada berpusing apabila ia mengesan sebarang kejutan atau gerakan dan sekali gus menghalang kehilangan data.

Ia juga menawarkan pengguna dengan pilihan peranti mikro canggih terkini (AMD), pemproses Intel dan antara muka eSATA berkelajuan tinggi untuk sokongan pemacu storan. Bagi HP Pavilion dv4, ia dilengkapkan dengan paparan skrin diagonal 14.1 inci, aplikasi hiburan seperti penala televisyen, perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar selain lebih ringan dan menjimatkan kuasa. Untuk HP Pavilion dv5 pula, ia didatangkan dengan paparan skrin diagonal 15.4 inci dan dilengkapi aplikasi grafik NVIDIA dan optik Blu-ray.

Berbeza dengan siri HP Pavilion dv7, ia menawarkan paparan skrin diagonal yang lebih besar iaitu 17 inci dengan hiburan beresolusi tinggi untuk muzik, video dan juga foto.SaluranSiri ini juga mempunyai ciri-ciri seperti pilihan saluran audio premium, subwoofer, pemacu Blu-ray optik dan aplikasi grafik ATI serta NVIDIA.
Selain tiga siri tersebut, HP turut memperkenalkan tiga lagi siri dalam barisan produk PC komputer riba Compaq Presario iaitu CQ20, CQ40 dan CQ45.

Selain reka bentuk yang menarik, kesemua model ini didatangkan dalam pelbagai saiz dan konfigurasi yang berbeza. Danny berkata, untuk CQ20, ia dibangunkan oleh HP di Asia bagi produk Asia (DIAFA) serta pasaran Asia Pasifik.

Siri CQ45 pula merupakan sistem berkuasa yang memberi perhatian terhadap reka bentuk dan prestasi serta menawarkan teknologi grafik yang memberi pengalaman multimedia menarik. CQ40 juga merupakan komputer riba yang menarik dan mampu dimiliki serta digunakan untuk kemudahan teknologi tanpa wayar dan mudah alih.

Untuk siri HP Pavilion dv4, harga yang ditawarkan adalah RM3,999, dv5 RM5,999 dan dv7 RM6,999.
Bagi siri Compaq Presario CQ20 pula, harganya adalah RM2,709, CQ45 RM2,2809 dan CQ 40 RM2,509.


SUMBER : Utusan Malaysia